Thursday, April 26, 2012

Korpus Berkomputer Dalam Bahasa


Menurut  J. McH. Sinclair (1996) korpus berkomputer boleh ditakrifkan sebagai  korpus yang diberi penanda, kod dan diformatkan secara piawai  serta dapat dicapai dan diproses dengan komputer. Kamus Linguistik (1997), menjelaskan korpus merupakan data mentah linguistik yang dikutip daripada kerja lapangan atau teks bertulis, dan dianalisis untuk membuat penyataan saintifik tentangciri fonologi, tatabahasa atau leksikal sesuatu bahasa.  

Data korpus berkomputer telah digunakan secara meluas di Barat terutama dalam bidang pedagogi bahasa (Teaching Collocation), leksikografi dan kajian linguistik.  Di Malaysia, korpus berkomputer turut digunakan dalam bidang perkamusan terutamanya oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Dalam kajian linguistik pula, korpus berkomputer telah digunakan dalam kajian Zaharani Ahmad dan Mohd Ra’in Shaari (2004), Imran Ho Abdullah (2004) dan Mohd Ra’in Shaari (2004). Korpus berkomputer sebagai bahan bantu pengajaran bahasa terutama bagi aspek morfologi dan sintaksis, boleh dianggap sebagai perkara baru. 

Satu persoalan yang timbul ialah bagaimanakah seseorang guru itu boleh membina atau memperoleh data korpus berkomputer bagi tujuan pengajaran bahasa? Secara mudahnya, korpus berkomputer boleh diperoleh di Pangkalan Data Korpus, Bahagian Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur (contoh korpus DBP sila lihat lampiran 1). Buat masa ini, pengguna perlu pergi sendiri ke DBP untuk mengambil data tersebut. Pangkalan data ini akan disediakan dengan kemudahan capaian melalui Internet dan World Wide Web supaya lebih ramai penyelidik atau pengguna di dalam dan di luar negara dapat memanfaatkannya (Rusli Abdul Ghani 2004).  

 Selain memperoleh data korpus berkomputer di DBP, seseorang guru juga boleh membina data korpus sendiri. Caranya ialah dengan memuat turun perisian penjana korpus (Concordance) di laman http://www.concordancesoftware.co.uk/ (contoh lihat lampiran 2). Dengan adanya perisian ini, seseorang  guru boleh menjana sendiri korpus berkomputer dengan memilih apa juga jenis teks berbentuk digital seperti surat khabar atau majalah yang boleh diperoleh di laman http://www.utusan.com.my,  http://www.bharian.com.my,  http://www.dbp.gov.my dan sebagainya. 

No comments:

Post a Comment